![]() |
| -Gambar sekadar hiasan- |
Saban hari aku tertanya, apakah nasib Melayu seterusnya di Pulau Pinang. Bak kata Tun Mahathir Mohamad, “Melayu Mudah Lupa”. Sememangnya tidak dapat disangkal kenyataan beliau. Tidak terkecuali aku sebagai anak Melayu yang masih mencari sinar keMELAYUan di Pulau Mutiara ini. Ada yang sudah berpuas hati dengan apa ada kerana Melayu khususnya di Pulau Pinang hanya mengharapkan sesuatu terbaik dalam hayat mereka sahaja. Bagaimana pula dengan kehidupan generasi baru Melayu P.Pinang akan datang? Apakah peninggalan kita untuk mereka? Sebuah rumah kos rendah 3 bilik yang bakal menjadi rebutan sesama ahli keluarga. Cukupkah dengan itu sahaja?
Suasana Tahun Baru Cina tahun ini disambut dengan aman dan meriah di P.Pinang. Malah ada Melayu turut meraikannya bersama. Situasi ini melambangkan sebuah ikatan perpaduan yang amat erat walaupun berbeda fahaman politik. Sebagai anak Malaysia aku amat berbangga. Meraikan perayaan pelbagai kaum di Malaysia adalah pengalaman yang amat menarik dan menakjubkan. Namun, apakah disebalik meraikan perayaan seperti Tahun Baru Cina hari ini? Aku cukup kagum dengan kejayaan kaum Cina hari ini khususnya di P.Pinang. Mereka mempunyai pelbagai bangunan sendiri mengikut ‘clan’ masing-masing. Mereka juga mempunyai pelbagai bangunan bertingkat-tingkat di kawasan yang mempunyai nilai hartanah yang tinggi khususnya di bahagian Pulau. Bangunan mereka mempunyai dewan orang ramai yang tersergam indah dan menjadi tumpuan perhimpunan untuk sesebuah majlis keraian diadakan. Melayu? Hanya mampu sewa untuk mengadakan kenduri kahwin saja ke? Aku tidak menafikan bahawa Melayu mempunyai “beberapa” bangunan sendiri di P.Pinang dan aku juga tidak mempersalahkan kaum Cina kerana memiliki bangunan sendiri kerana ia adalah hasil usaha mereka. Persoalannya adakah bangunan yang Melayu miliki setaraf dengan kaum Cina? Sama-sama kita fikirkan. Usah bicara soal pemilikan perumahan di P.Pinang untuk orang Melayu kerana aku sudah bosan dengan sinonim Melayu kini dengan perumahan kos rendah.
Nukilan ini hanyalah luahan yang dahagakan perubahan untuk Melayu P.Pinang. Tidak terlintas di hati untuk menghentam mana-mana kaum. Sebaliknya ingin Melayu P.Pinang sedar bahawa kita semakin tertinggal. Janganlah kita cepat berpuas hati. Kadangkala aku tertanya apakah agenda pemimpin Melayu P.Pinang. Mungkin beliau akan berkata, “Cakap senang la, cuba buat la kalau pandai sangat”. Jika ada pemimpin sebegini dengan segala hormatnya sila letak jawatan anda. Pemimpin yang dilantik adalah berdasarkan kepercayaan yang diberikan untuk memimpin. Sekiranya tidak mampu memimpin bersedialah untuk dipimpin oleh mereka yang lebih layak. Jangan pula berdendam atau mempunyai sifat dengki. Aku sememangnya kagum dengan usaha kaum Cina yang tiada titik noktah. Selagi hayat ada, mereka akan terus berjuang dan berjuang. Lihatlah sendiri apa yang berlaku di P.Pinang ketika Tahun Baru Cina diraikan. Banyak kedai tutup. Butik-butik pakaian di Queensbay Mall pun tutup. P.Pinang seakan lumpuh seketika. Pusat membeli belah menjadi sebuah tempat yang bosan untuk dikunjungi kerana kemeriahannya cuti buat seketika.
Marilah kita berubah bersama-sama. Aku juga mungkin tergolong dalam Melayu yang cepat berpuas hati. Aku percaya kita semua perlu bersatu melakukan perubahan. Jangan sibuk dengan perubahan untuk Malaysia, ubahlah nasib kita sendiri dahulu.
Sekadar luahan dan renungan aku…BLOG AKU BUKAN BLOG HANGPA!!!

No comments:
Post a Comment